Bumiputera Berpendapatan Rendah Perlu Diskaun Untuk Beli Rumah

PUTRAJAYA: Diskaun masih perlu diberikan kepada golongan Bumiputera berpendapatan rendah untuk membeli rumah mampu milik dan kos rendah, kata Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, katanya diskaun sedemikian tidak boleh diberikan kepada golongan tidak layak seperti kumpulan berpendapatan tinggi.

“Bagi menyantuni keperluan rumah, dengan kuasa beli terhad, maka diskaun harus diberikan, katanya pada sidang media selepas Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024.

“Tetapi tidak kepada mereka berpendapatan tinggi atau (yang) berada di tahap kelas pertengahan, melebihi apa yang sepatutnya diperolehi untuk subsidi.”

Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata demikian mengulas cadangan Pengerusi Bursa Malaysia Abdul Wahid Omar untuk memansuhkan diskaun kepada golongan Bumiputera bagi membeli kediaman mewah.

Dalam pada itu, KEB 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini secara puratanya menerima 80 resolusi daripada kumpulan libat urus.

Resolusi itu akan diteliti sebuah sekretariat tetap untuk dilaksanakan dalam masa terdekat.

Zahid berkata, resolusi itu merangkumi pelbagai aspek berkaitan masyarakat Bumiputera tanpa meminggirkan lain kaum.

“Ini penting dalam aspek pembasmian kemiskinan dan pengagihan ‘kek ekonomi’ yang lebih saksama dan paling penting, penerobosan teknologi baharu yang harus juga diceburi pelbagai kumpulan masyarakat.” -Free Malaysia Today

Related Articles