Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya, berkata pihaknya menerima lebih 10 laporan yang dibuat berhubung kenyataan terbabit dan siasatan dibuka bagi membolehkan tindakan lanjut dilakukan.
“Pada mulanya kita sendiri menyiasat kes terbabit di Langkawi tetapi selepas menerima banyak laporan, Bukit Aman mengambil alih kes terbabit bagi mempermudahkan siasatan susulan.
“Siasatan awal, Nawawi mendakwa kenyataannya dimanipulasi tetapi kita serahkan kepada Bukit Aman untuk menyiasat termasuk mengambil keterangannya untuk perhatian Peguam Negara,” katanya dengan memetik laporan Berita Harian.
Baru-baru ini, Nawawi memohon ampun kepada Yang di-Pertuan Agong atas keterlanjurannya mengaitkan nama baginda ketika menulis dalam laman sosial Facebook.
Ia susulan Majlis Kerabat Diraja Kedah memberi amaran keras kepada semua pihak supaya tidak melangkaui batas dengan menarik pihak istana terutama Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, ke kancah politik tanah air.
Perkara itu disuarakan Yang Dipertuanya, Syed Idrus Syed Baharom, yang berasa kesal kerana ada pihak sesuka hati ‘bermain-main’ dengan pihak istana, sehingga menyamakan taraf Yang di-Pertuan Agong dengan pihak lain.
Amaran terbabit dibuat susulan isu kononnya Nawawi mengaitkan MO1 yang disebut dalam laporan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan Yang di-Pertuan Agong yang disiarkan menerusi laman Facebook.
Bagaimanapun, Nawawi yang membuat laporan polis di Balai Polis Hulu Klang di Selangor, baru-baru ini, menafikan dakwaannya itu.
Kenyataan dimuat naik Nawawi itu turut diselar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Kedah yang menggesa Ahli Parlimen Langkawi itu membuat permohonan maaf kerana mengaitkan Yang di-Pertuan Agong dengan isu 1MDB.