Bukit Aman minta NCA bagi maklumat Huckle

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata buat masa sekarang, pihaknya mengadakan perbincangan dengan NCA untuk memberikan butiran kes.

“Kita tengah berbincang dengan mereka untuk mendapatkan laporan berkenaan bagi memudahkan kita mengenal pasti mangsa yang terlibat.

“Mangsa yang dikenalpasti adalah seramai 23 kanak-kanak dan polis sedang berusaha untuk mengesan semua mereka,” kata beliau kepada BERNAMA ketika dihubungi di sini, malam tadi.

Noor Rashid berkata, polis juga sedang cuba untuk mengenal pasti tempat-tempat yang dikunjungi oleh Huckle semasa berada di Malaysia selama lapan tahun.

“Setakat ini kita kenal pasti satu kawasan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur manakala satu lagi kawasan sedang dipantau,” kata beliau.

Sementara itu, beliau juga meminta pihak berkuasa berkaitan di semua negara untuk berkongsi maklumat mengenai pelaku pedofilia bagi mengelak insiden seperti itu daripada berulang pada masa depan.

“Kita perlu bekerjasama, bantu antara satu sama lain bagi mengelak perkara yang sama berulang,” katanya.

Pedofilia warga Britain itu dihukum penjara seumur hidup oleh sebuah mahkamah di London hari ini kerana melakukan pencabulan seksual ke atas 23 kanak-kanak di Malaysia serta bayi dan kanak-kanak di Kemboja dalam tempoh hampir satu dekad.

Reuters melaporkan bahawa Huckle, 30, dijatuhi 22 hukuman penjara seumur hidup dan akan merengkok dalam penjara sekurang-kurangnya 23 tahun atas jenayah yang dilakukannya terhadap mangsa yang berasal dari keluarga miskin berusia enam bulan hingga 11 tahun.

Huckle telah mengaku bersalah terhadap 71 kesalahan dan polis menemui lebih 20,000 imej lucah kanak-kanak di dalam komputer dan kameranya ketika di ditangkap di Lapangan Terbang Gatwick, London pada 2014.

Menurut laporan media di Britain baru-baru ini, Huckle, 30, jurugambar bebas mungkin telah melakukan pencabulan seksual ke atas sehingga 200 kanak-kanak berumur enam bulan dan 12 bulan, dari 2006 hingga 2014.

Sebanyak 91 pertuduihan telah dikenakan ke atasnya dan mangsa kebanyakannya ialah keluarga miskin di Kuala Lumpur. – Bernama

Related Articles