Menurut Pengarahnya, Datuk Ab Aziz Abdullah berkata pihaknya sentiasa memantau kualiti makanan disediakan supaya mengikut menu bernutrisi yang sudah ditetapkan.
“Ini adalah satu tuduhan tidak berasas yang sengaja memburukkan jabatan dan Kementerian Pendidikan.
“Tidak timbul isu sekolah sediakan makanan tak berkhasiat kerana pemantauan pegawai kami mendapati menu dihidangkan adalah seperti apa yang sudah kita tetapkan iaitu nasi goreng Cina bersama lauk daging, tembikai dan air Milo, bukan gambaran sebenar yang ditunjukkan dalam gambar itu (nasi dengan sosej).
“Biasanya hidangan ini disajikan sebelah pagi dan ketika itu pengusaha masih dalam proses penyediaan,” katanya, memetik laporan Harian Metro.
Ab Aziz berkata, hidangan sosej pula adalah menu tambahan sumbangan pengusaha kantin sebagai galakan murid makan di situ.
Terdahulu, sekeping gambar makanan RMT menjadi viral sejak semalam mengatakan sekolah di Pasir Mas menghidangkan makanan ‘daif’ kepada penerima yang rata-ratanya adalah murid kurang berkemampuan.