Buat Kerja Tak Perlu Bodek Menteri, Tegas Anthony Loke

SHAH ALAM: Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook mengingatkan kontraktor yang mendapat kontrak kerajaan hanya perlu fokus menyiapkan kerja dengan baik, bukannya cuba membodek menteri.

Katanya, tidak perlu “kenal menteri” dalam situasi sedemikian.

“Bagi kerajaan semasa, anda tak perlu kenal menteri, anda hanya perlu tahu siapkan kerja anda.

“Paling penting, buat kerja anda dengan baik,” katanya pada majlis penyerahan kontrak “Pay As Use” antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan SMH Rail Sdn Bhd.

Loke yang berkongsi video ucapannya di media sosial, mengakui tidak mengenali pemilik SMH Rail sebelum menghadiri acara hari ini.

SMH Rail ialah syarikat Malaysia yang mengeluarkan lokomotif, gerabak dan gandar kereta api, selain menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan serta baik pulih.

Loke berharap SMH Rail akan memenuhi perjanjiannya dengan RAC kerana prestasi syarikat itu akan dipantau kementeriannya.

“Jadi, saya nak bagi teguran terlebih dahulu, kita harap tanggungjawab ini dapat digalas dengan sebaik-sebaiknya (SMH Rail).”

Kataya, syarikat itu memainkan peranan penting membantu kerajaan mencapai matlamat menggalakkan penggunaan kereta api untuk kargo bagi mengurangkan kenderaan berat di jalan raya, yang seterusnya dapat membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

“Jika anda tidak buat dengan baik dan tidak menyiapkan (kontrak), jangan harap akan diberi peluang lagi di peringkat Kementerian Pengangkutan mahupun kerajaan.

“Jadi, saya harap ini satu cabaran kepada mana-mana syarikat yang memenangi kontrak kerajaan, lakukan kerja anda dengan baik.” –Free Malaysia Today

Related Articles