BR1M peringkat ketiga diawalkan sempena Aidilfitri, kata Husni

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah menerusi kenyataan hari ini berkata, kerajaan berharap pemberian BR1M itu dapat membantu rakyat membeli barangan keperluan dan persiapan bagi menyambut Aidilfitri nanti.

Katanya, pembayaran BR1M akan dikreditkan terus ke akaun penerima.

Menurut beliau, bagi mereka yang tiada nombor akaun, surat kelulusan akan diposkan terus ke alamat penerima dan seterusnya boleh ditunaikan di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional yang berhampiran.

Dalam pada itu, beliau berkata, sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2716 atau e-mel kepada br1m@treasury.gov.my.

Dalam pengumuman Bajet 2016, kerajaan memutuskan pemberian BR1M pada tahun ini diagihkan kepada empat peringkat dengan bayaran kali pertama telah diagihkan pada 28 Januari dan kali kedua pada 28 April. – Bernama

Related Articles