Bolehkah pembangkang terima Muhyiddin sebagai Perdana Menteri?

by SM Amin

Kata Zaid, pemimpin-pemimpin pembangkang sentiasa merasakan mereka cukup kuat untuk menyatukan parti-parti pembangkang dan membentuk kepercayaan dalam membina satu kerjasama yang utuh.

“Apa yang kita perlukan sekarang adalah pemimpin dan Perdana Menteri masa depan yang boleh mengambil alih pentadbiran negara ini.

“Pada masa ini, parti-parti pembangkang tidak mempunyai satu faktor yang sangat penting untuk perpaduan mereka. Mereka tidak mempunyai pemimpin.

“Sebenarnya mereka semua fikir mereka cukup kuat untuk menyatukan pembangkang dan mengekang kurangnya kepercayaan sesama sendiri yang boleh menjejaskan kerjasama di antara mereka. Tetapi mereka tidak,” katanya di blog beliau.

Menurut Zaid, pembentukkan parti baru yang berteraskan Melayu dan Bumiputera seperti UMNO merupakan perkembangan yang baik kerana ia akan menambah baik pembangkang yang sedia ada.

Bagaimanapun, beliau bimbang pembangkang tidak dapat menerima bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pemimpin yang akan mengetuai mereka.

“Sebuah parti politik di negara ini boleh berdasarkan satu kumpulan etnik selagi ia bukan rasis, berfikiran sempit dan melampau dalam tindakannya.

“Apa yang kita perlukan adalah sebuah parti berasaskan Melayu yang inklusif dan progresif, dan yang mempunyai semua ciri-ciri sebuah parti masa depan.

“Kebimbangan saya mengenai parti baru adalah kesediaan parti pembangkang dan pemimpin masing-masing untuk menerima Muhyiddin sebagai pemimpin dan Perdana Menteri yang ditetapkan,” katanya.

Selain itu kata Zaid, bekas rakan pakatan, PAS perlu dibenarkan kembali dalam Pakatan Harapan bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya.

“Jika Muhyiddin merupakan pemimpin, maka dia mesti bercakap dengan semua pihak berkaitan termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sebelum memberi pandangan beliau sendiri.

“Jika Muhyiddin berkata bahawa pihak pembangkang harus termasuk PAS, maka semua orang harus patuh.

“Begitu juga, jika dia mengatakan PAS tidak boleh dipercayai dan bersekongkol dengan UMNO, maka kita mesti menerima kedudukan itu juga dan mempersiapkan diri untuk pertarungan tiga penjuru,” ujarnya.

Related Articles