Bolehkah berlaku perubahan rejim di Johor?

by SM Amin

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Ting berpendapat pembangkang di negeri Johor masih memerlukan 10 kerusi untuk membuat perubahan besar di negeri Johor. Jika keadaan politik kekal dan matematik Liew Chin Tong betul, barulah boleh membuat tafsiran sedemikian, tetapi jika di sebalik setiap nombor muncul rundingan dan kerjasama politik, maka 10 kerusi yang dinyatakan bukanlah sesuatu perkara yang mudah.

Berdasarkan keputusan PRU 2013, negeri Johor mempunyai 56 kerusi. BN telah memenangi 38 kerusi; DAP pula menang 13 kerusi manakala PAS dan PKR masing-masing empat dan satu kerusi. Selepas Sharuddin lompat parti menyertai PPBM, BN masih memegang 37 kerusi manakala pembangkang bertambah satu kerusi kepada 19 kerusi. Benar apa yang dikatakan oleh Liew Chin Tong iaitu pembangkang memerlukan 10 ADUN BN untuk lompat parti maka kerajaan Johor akan bertukar tangan. Bagaimanapun, Liew Chin Tong perlu memastikan, selain ADUN UMNO lompat parti, empat ADUN PAS yang sedia ada juga perlu kekal sebarisan dengan DAP.

Ketidaksefahaman DAP dan PAS adalah masalah yang sukar untuk diselesaikan oleh pakatan pembangkang hari ini. Sudah tentu bagi pakatan pembangkang pula, sama ada Tun Mahathir mahupun Anwar Ibrahim tidak berani memandang remeh keupayaan PAS. Apatah lagi dalam dua PRK baru-baru ini, PAS telah membuktikan jika undi Melayu bukan hak UMNO maka ia kini dalam menu makanan PAS.

Tetapi bagaimana kek besar kawasan Melayu ini perlu dibahagi-bahagikan barulah dapat memberi kepuasan hati kepada PPBM, AMANAH, PKR dan PAS akan menjadi soalan matematik yang paling sukar dijawab dalam PRU akan datang. AMANAH dan PPBM berharap mereka dapat mencapai kemenangan dengan mudah, tetapi mampukah PAS menelan AMANAH dengan sekali nafas?

Selepas persempadanan semula kawasan, kawasan campuran yang boleh ditandingi oleh PKR semakin kurang dan dalam keadaan pengurangan kerusi, mungkinkah PKR akan memberi laluan kerusi mereka kepada rakan parti?

Jika 10 kerusi yang dikatakan oleh Liew Chin Tong benar-benar berlaku dalam DUN penggal ini, maka ia memerlukan sekumpulan ADUN UMNO keluar parti dan jumlah ADUN PAS tidak berubah. Tetapi jika berlaku pada PRU penggal ini, maka Liew Chin Tong perlu terlebih dahulu menyelesaikan masalah dengan PAS, iaitu bagaimana untuk menstabilkan undi Melayu di Johor. Hal Ini demikian kerana negeri Johor adalah tempat kelahiran UMNO sementara PPBM dan AMANAH bagi rakyat negeri Johor adalah parti asing.

Selain itu, perubahan rejim di Johor masih lagi bergantung kepada peranan mutlak keluarga Diraja. Sultan dan kerabat Diraja Johor amat disayangi oleh rakyat Johor, pandangan dan pendirian mereka adalah sangat penting dan akan memutuskan perkembangan politik di negeri itu.

Hakikatnya, bukan mudah untuk terjadi perubahan rejim di negeri Johor kerana persefahaman pembangkang dan peranan Sultan Johor akan memutuskan keadaan politik di negeri itu. Selain itu, UMNO dan MCA adalah akar umbi negeri Johor, lebih stabil berbanding negeri-negeri lain dan tambahan keadaan pakatan pembangkang yang tidak sefahaman, sudah tentu BN mempunyai kelebihan besar. – Kwong Wah Yit Poh

Related Articles