KUALA LUMPUR: Google sekali lagi memaparkan data salah mengenai pertukaran ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semalam.
Bank Negara Malaysia (BNM) dengan tegas menolak data kadar pertukaran RM4.98 berbanding AS$1 yang dikeluarkan Google dan telah disebar di media sosial.
“Ini adalah maklumat tidak tepat yang tidak menggambarkan dagangan sebenar semalam (15 Mac 2024) USD/MYR disebut harga pada 4.7015 pada 9 pagi dan 4.7045 pada 5 petang dengan paras tertinggi harian pada 4.7075 dalam pasaran antara bank dalam pesisir bagi ringgit, seperti yang diterbitkan di laman web BNM,” katanya.
Menurut BNM, dalam dua minggu lalu iaitu 1 hingga 15 Mac 2024 ringgit telah mengukuh 0.76% berbanding dolar AS.RM2Kadar pertukaran ringgit berbanding dolar AS yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia.
Katanya, ini adalah insiden kedua Google telah menerbitkan data kadar pertukaran USD/MYR yang tidak tepat pada tahun ini.
BNM sebelum ini telah mengeluarkan surat amaran keras kepada Google apabila salah lapor pertama berlaku pada Februari lalu.
“Memandangkan ini adalah contoh salah lapor kedua, BNM akan menghubungi Google untuk mendapatkan penjelasan tentang cara pelaporan yang tidak tepat itu berlaku.
“Dan langkah pembetulan yang diambil memandangkan ini adalah isu berulang yang melanda Malaysia dan negara lain dalam beberapa bulan kebelakangan ini,” katanya.
Sementara itu BNM menasihatkan orang ramai untuk merujuk kepada data rasmi termasuk daripada BNM.
Masyarakat juga harus berhati-hati menggunakan, mengedar atau membuat spekulasi mengenai sumber yang tidak boleh disahkan sebagai rujukan untuk ringgit.
BNM berkata, kadar pertukaran adalah data sensitif pasaran dan sebarang laporan dan peredaran data yang tidak tepat boleh menyebabkan implikasi yang serius kepada pasaran kewangan.
Pada 5 Februari lalu laporan yang dikongsikan Google menyaksikan AS$1 bersamaan RM6.24 berbanding kadar sebenar sebanyak antara RM4.7480 dengan RM4.7630.
Laporan oleh Google itu menimbulkan kekecohan di media sosial apabila ringgit didakwa menjunam ke paras terendah terbaru berbanding dolar AS.- MalaysiaGazette