“IPF lebih dua dekad berusaha keras untuk menganggotai Barisan Nasional (BN) sebagai parti komponen.
“Namun disebabkan beberapa konsensus BN yang menjadi penghalang kepada usaha itu sehingga tidak dapat menerima parti itu ke dalam BN, akan tetapi BN akan terus mendampingi parti itu.
“Ia tidak akan dianaktirikan, saya sudah lihat kesetiaan IPF kepada BN selama lebih 24 tahun sejak ditubuhkan oleh mendiang pengasasnya Tan Sri M.G.Pandithan, BN akan sentiasa bersama IPF,” kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri.
Tambah Ahmad Zahid, Pengerusi BN merangkap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sangat cenderung dan mempunyai perhatian khas ke atas IPF.
“Oleh itu, saya yakin PM akan mengumumkan pelan terbaik untuk IPF apabila tiba masa sesuai itu nanti.
“Sehingga itu, IPF jangan berputus asa, BN akan sentiasa dampingi kamu dalam apa jua perkara,” ujarnya lagi.
Katanya, BN memerlukan bantuan parti seperti IPF untuk menangani masalah sosioekonomi, gangsterime belia India yang menjadi keutamaan BN untuk memajukan komuniti itu ke arah kecemerlangan.
“Saya dan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor akan membawa segala permintaan dan usul yang disampaikan Sambanthan kepada perhatian PM nanti.
“Saya faham masalah dan tekanan yang dihadapi Sambanthan oleh kerana IPF belum diserap sebagai komponen BN. Saya sentiasa akan membimbing Sambanthan dalam perkara ini,” tegasnya lagi. – Tamil Nesan