Memetik laporan tersebut, kerajaan Amerika Syarikat (AS) merujuk pegawai itu sebagai seorang wanita rakyat Malaysia yang belajar undang-undang di UK dan bekerja dengan sebuah syarikat pemaju serta minyak sebelum menyertai 1MDB.
Wanita berkenaan pernah bertugas dalam bahagian undang-undang 1MDB serta menjadi pengantara 1MDB dengan Goldman Sachs Group Inc, bank antarabangsa yang membantu syarikat pelaburan strategik negara memungut, RM24.33 bilion (AS$6 bilion).
“Walaupun jumlahnya sederhana berbanding dengan yang lain dalam skim tersebut, dakwaan pindahan RM20.27 juta itu ketara.
“Penerimanya bukan sahaja seorang peguam dan pengantara 1MDB dengan Goldman Sachs tapi juga satu-satunya orang dalam 1MDB yang DOJ sebut menerima bayaran,” lapor Bloomberg.
Bagaimanapun, Jabatan Kehakiman (DOJ) AS dilaporkan tidak menuduh wanita ini atau mana-mana individu melakukan jenayah dalam saman yang dikemukakan.
Sebelum ini, DoJ mengemukakan saman sivil untuk menyita aset bernilai lebih RM4 bilion yang dipercayai diperoleh melalui konspirasi pengubahan wang haram daripada 1MDB.
DOJ turut menamakan individu yang didakwa terlibat dalam konspirasi tersebut iaitu, anak tiri Perdana Menteri, Riza Aziz; ahli perniagaan, Jho Low serta dua individu lagi, Khadem Abdulla Al-Qubaisi dan Mohammed Ahmed Badawy Al-Husseiny.- Sinar Harian