Bimbang Berlaku Perlanggaran Hak Asasi Manusia, Muda Hantar Memo Bantah Pindaan Undang-undang Kerakyatan

KUALA LUMPUR: Muda hari ini menyerahkan memorandum kepada Ahli Parlimen menyatakan bantahannya terhadap cadangan pindaan undang-undang kewarganegaraan untuk kanak-kanak yang dilahirkan di Malaysia, memetik kebimbangan berlaku pelanggaran hak asasi manusia.

Pemangku Presiden Muda Amira Aisya Abd Aziz berkata, pindaan ini boleh secara tidak adil menjejaskan kanak-kanak yang selama ini dinafikan kewarganegaraan.

“(Pindaan undang-undang itu) akan tambah menyukarkan mereka mendapat kewarganegaraan,” katanya.

“Kami gesa semua Ahli Parlimen menolak pindaan ini. Jangan jadikan ibu bapa dan anak-anak sebagai tebusan.”

Memorandum itu disampaikan kepada kumpulan Ahli Parlimen pelbagai parti, termasuk Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda), Syerleena Abdul Rashid (DAP) dan Shahidan Kassim (PAS).

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan hasratnya meminda Perlembagaan Persekutuan untuk mengukuhkan jaminan kewarganegaraan, yang dilihat dieksploitasi oleh warga asing.

Dalam Dewan Rakyat pada Isnin, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, warga asing datang ke Malaysia, melahirkan anak kemudian meninggalkan bayi mereka kerana mengetahui mereka akan dijamin kewarganegaraan mengikut Seksyen 19B, Bahagian III Jadual Kedua Perlembagaan.

Seksyen ini menganggap mana-mana anak terdampar sebagai lahir di negara ini oleh ibu yang bermastautin, sekali gus menjamin kewarganegaraan bagi anak tersebut.

Memetik kos ditanggung Kementerian Kesihatan, Saifuddin mendakwa warga asing melarikan diri dari hospital kerajaan tanpa membayar bil, yang jumlah keseluruhannya mencecah ratusan juta ringgit setiap tahun.

Bagaimanapun, Muda dilaporkan membantah tahap kawalan perkara itu yang sebelum ini dianggap sebagai hak perlembagaan namun kini beralih menjadi keputusan menteri dalam negeri.

Pihak lain yang menentang keras pindaan undang-undang itu juga berkata, ia akan memberikan kesan terhadap kanak-kanak yang dilahirkan kepada ibu bapa rakyat Malaysia, khususnya Orang Asli dan Bumiputera Sabah dan Sarawak

Related Articles