Bersih sengaja cari pasal mahu publisiti, kata KPN

Beliau berkata menerusi cara itu penganjur demonstrasi tersebut, Bersih 2.0 mahu menunjukkan kepada masyarakat dunia bahawa kononnya anggota penguatkuasa di negara ini menyekat kebebasan rakyatnya untuk bersuara dan berhimpun.

“Nasihat saya patuhilah peraturan seperti terkandung dalam APA 2012, kenapa lah susah sangat (patuhi peraturan). Mereka (penganjur) ini suka kalau nanti kita guna FRU (Federal Reserve Unit) bawa water cannon (penyembur air), mereka suka la macam tu.

“Negara kita ini ada undang-undang bukannya negara ‘cowboy’…kalau dia (penganjur) masih lagi kekal dengan keputusan melanggar undang-undang maka bersedialah dengan tindakan undang-undang,” katanya pada sidang akhbar di Melaka, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Sambutan Hari Inovasi Polis Diraja Malaysia 2016 yang turut dihadiri Ketua Polis Melaka Datuk Ramli Din dengan kerjasama daripada pelbagai agensi antaranya Kerajaan Negeri Melaka, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin bagaimanapun difahamkan telah menghantar notis memaklumkan berhubung demonstrasi yang dijadualkan berlangsung 19 November depan kepada pihak polis, hari ini.

Notis berkenaan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Dang Wangi dan Brickfield.

— Bernama

Related Articles