Bersih 5 tetap diteruskan – Maria

Pengerusinya, Maria Chin Abdullah berkata, hasil pertemuannya dengan pihak polis semalam, mereka akan meneruskan perhimpunan Bersih 5 mengikut perancangan asal.

“Polis tak kata boleh berhimpun atau tidak, tapi kami akan teruskan (berhimpun) seperti diumum sebelum ini.

“Peserta akan mula berkumpul di Dataran Maybank dan Masjid Negara sebelum menuju ke Dataran Merdeka.

“Kami tidak akan masuk ke padang di Dataran Merdeka, sebaliknya hanya berada berhampiran kawasan itu,” katanya kepada media di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Khamis.

Pertemuan itu dibuat bagi menyampaikan notis kepada pihak berkuasa sekurang-kurangnya 10 hari sebelum perhimpunan mengikut peraturan APA 2012.

Bersih sebelum ini mengumumkan dua lokasi berkumpul iaitu Dataran Maybank di Jalan Bangsar dan Masjid Negara.

Menurut Maria, larangan dikeluarkan polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya membabitkan Dataran Merdeka dan Jalan Raja Laut.

“Justeru kita tidak akan masuk dua kawasan ini bagi menghormati DBKL,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini bertegas tidak membenarkan penganjur Bersih 5 dan Baju Merah mengadakan sebarang perhimpunan dan bakal berdepan tindakan undang-undang jika berbuat demikian.

Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri dilaporkan berkata, keputusan itu diambil kerana kerajaan tidak mahu berlaku pertembungan antara kedua-dua kumpulan berkenaan.

Sementara itu timbalan pengerusinya, Shahrul Aman Mohd Razali berkata, beliau berharap peserta Bersih 5 memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada arahan yang dikeluarkan.

“Rakyat Malaysia yang akan turut serta bersama berhimpun nanti perlu memberi kerjasama sebagai tanda solidariti terhadap lima tuntutan Bersih sebagai mercu tanda ke arah pilihan raya bersih dan adil,” katanya memetik Sinar Online.

Related Articles