BERSATU sah parti politik seminggu lagi

Menurut Setiausaha Penaja BERSATU, Kamarulzaman Habibur Rahman, Muhyiddin memaklumkan perkara berkenaan baru-baru ini di dalam satu pertemuan antara mereka.

“Muhyiddin ada menyuarakan harapan bahawa kelulusan diberi dalam tempoh sebulan dari tarikh permohonan dibuat seperti yang telah dijanjikan.

“Dalam pertemuan itu juga, kita telah mengemukakan harapan agar kelulusan akan diberikan selewat-lewatnya 9 haribulan September 2016,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Pada 9 Ogos yang lalu, bekas timbalan perdana menteri itu telah menyerahkan dokumen permohonan pendaftaran BERSATU di pejabat Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) di Putrajaya bersama-sama empat ahli jawatankuasa penaja parti baru tersebut.

Mereka ialah bekas ahli Wanita Umno Bahagian Langkawi, Anina Saaduddin, pemimpin kumpulan belia Challenger, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bekas Ketua Umno Cawangan Bendang Baru, Akhramsyah Sanusi selain Kamarulazman sendiri.

Dokumen tersebut diterima oleh Penolong Pengarah RoS, Rosliza Mahidi.

Mengulas lanjut, Kamarulazman berkata, ROS telah menjelaskan pihaknya tiada sebarang halangan tentang tarikh itu memandangkan permohonan dikemukakan dengan kemas, lengkap dan tersusun.

“Muhyiddin beritahu ROS menjelaskan tiada sebab mengapa kelulusan terhadap permohonan penubuhan BERSATU perlu dilengahkan.

“Ini kerana kita telah menepati segala kehendak dan syarat yang telah ditetapkan dalam permohonan bagi penubuhan sesebuah parti politik baru.

“Wakil ROS sangat berpuas hati dan kagum dengan usaha dan tindakan dalam melaksanakan perubahan yang perlu terhadap segala teguran dan cadangan yang telah dibuat oleh pihaknya,” ujarnya lagi.

Related Articles