Matlamat tersebut sebenarnya mempunyai dua objektif iaitu jika dapat menarik sokongan PAS, maka perpecahan dalam kem pembangkang sudah tidak dapat dielakkan lagi; keduanya jika dapat memecahkan kem pembangkang dan PAS berpihak kepada UMNO, pasti akan menghasilkan perkara yang baik.
Bagaimanapun, mengapa pula dikatakan matlamat UMNO hanya separuh sahaja yang tercapai, kerana berkenaan dengan pindaan Akta 355 atau pelaksanaan hudud sebenarnya tiada berkaitan dengan ideologi UMNO. Dalam erti kata lain, UMNO sebenarnya tidak ikhlas untuk melaksanakan hudud dan PAS juga sebenarnya jelas mengenai perkara tersebut.
Pertamanya, jika UMNO benar-benar ikhlas mahu melaksanakan hudud, seawal parti itu berkuasa dan paling stabil maka akan dijalankan pelaksanaan tersebut. Apabila PAS menerusi DUN Kelantan meluluskan hudud pada tahun 1993, PM, Mahathir Mohamad pada ketika itu juga sudah pasti akan terus menyokong dan tidak perlu menunggu sehingga perpecahan UMNO hari ini barulah mencari alasan untuk berbaik-baik dengan PAS.
Kedua, jika UMNO benar-benar mahu melaksanakan hudud maka tiada keperluan untuk membuang masa memberi penjelasan kepada anggota komponen BN dan masyarakat bukan Islam bahawa RUU persendirian Hadi Awang tiada kena mengena dengan hudud. Sekiranya mengaku bulat-bulat bahawa pindaan akta tersebut sebenarnya adalah hudud, bukankah ini lebih jelas menonjolkan lagi keislaman UMNO? Reaksi UMNO tersebut jelas menunjukkan bahawa parti itu sangkat jelas dengan agenda sulit PAS, rasa serba salah UMNO tetap ada baik dari segi ideologi asal UMNO dan juga semangat BN.
Hadi Awang dan PAS bukannya baharu dalam politik, sudah tentu mereka dapat membaca taktik Najib dan UMNO. Oleh demikian tidak mungkin akan mempertaruhkan semuanya kepada UMNO. PAS sengaja menunjukkan parti itu menjauhkan diri daripada kem pembangkang, tetapi tidak pernah menyatakan dengan jelas pendirian memutuskan hubungan atau kemungkinan bekerjasama dengan kem pembangkang.
Syarat yang dikemukakan oleh PAS adalah, kerjasama boleh dibincangkan asal bukan dengan AMANAH dan DAP. Justeru itu dalam keadaan yang jelas ini, masih terdapat ruang kerjasama tersebut. Jika kerjasama PH dan PPBM ditafsirkan sebagai model 3 + 1, maka kerjasama antara PH, PPBM dan PAS mungkin juga boleh ditafsirkan sebagai 3 + 1 + 1 atau 3 + 2.
Cuma masalahnya kini ialah susun atur strategi UMNO kali ini seolah-olah daripada lakonan menjadi realiti, keadaan yang sudah tidak boleh dikawal lagi dan nampaknya pindaan Akta 355 akan diuluskan dalam Parlimen. Najib semasa dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) mengumumkan kerajaan akan mengambil alih RUU persendirian Hadi Awang untuk dijadikan sebagai RUU kerajaan. Lantaran itu, pertempuran hudud ini daripada luar BN sudah berpindah ke dalam BN dan menjadi satu konfrantasi antara UMNO dengan parti komponen BN yang lain.
Dalam keadaan ini, parti komponen BN sudah tidak boleh lagi berlapang dada kerana jelas tiada cara lagi untuk mengundur. Presiden MCA, Liow Tiong Lai mengecam UMNO mengadakan pakatan sulit dengan PAS, meninggalkan BN, kenyataan Tiong Lai itu mewakili pandangan sebahagian besar ahli komponen BN selain UMNO. Tetapi jika DAP yang memiliki 37 kerusi dalam Parlimen juga gagal untuk menghalang PAS yang hanya memiliki 21 kerusi itu daripada melaksanakan hudud, bagaimana pula MCA yang hanya ada 7 kerusi sahaja mahu menghalang UMNO yang mempunyai 88 kerusi di Parlimen, sudah tentu MCA tiada daya.
Jika pindaan Akta 355 versi Hadi Awang ini berjaya diluluskan dalam Parlimen, maka pintu untuk melaksanakan hudud di setiap negeri sudah terbuka luas dan negara sekular sejak penubuhan Malaysia juga akhirnya akan terkubur juga.
Sistem Perlembagaan negara telah dicipta oleh pengasas UMNO dan MCA, dan hari ini UMNO sanggup bermain api demi memecahbelahkan kem pembangkang, tetapi akhirnya terbakar diri sendiri dan membakar sistem yang dibina oleh nenek moyang sendiri. – Sin Chew Jit Poh