Bentang laporan 1MDB, buktikan Sarawak Report silap

by SM Amin

Dengan pendedahan tersebut kata Tuan Ibrahim, ia dapat menyelesaikan kebimbangan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menghalang Sarawak Report daripada terus memperdayakan rakyat.

“PAS mendesak agar laporan Ketua Audit Negara terhadap 1MDB yang tulen mesti didedahkan segera, memandangkan sekatan akses terhadap Sarawak Report ternyata gagal membendung portal ini daripada memperdayakan rakyat Malaysia.

“Dengan menggunakan laporan audit yang tulen, kerajaan melalui media-medianya boleh menunjukkan di mana silapnya laporan Sarawak Report dan bagaimana rakyat sedang diperdayakan, seperti yang dituduh oleh Salleh.

“Lawan fakta dengan fakta,” katanya dalam satu kenyataan.

Salleh sebelum ini telah melahirkan kebimbangan bahawa laman Sarawak Report sedang memperdayakan orang ramai dengan pendedahannya mengenai Laporan Ketua Audit Negara terhadap 1MDB.

Tegas Salleh, Laporan Ketua Audit Negara merupakan salah satu komponen yang digunakan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk menyiapkan laporan akhir badan itu mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MBD) dan apa yang didedahkan Sarawak Report telah menyimpang jauh daripada kebenaran.

Menurut Tuan Ibrahim, langkah proaktif dengan mendedahkan laporan Ketua Audit Negara itu sangat wajar selepas kerajaan yang diterajui oleh Barisan Nasional itu sudah kembali mendapat sokongan rakyat berdasarkan keputusan-keputusan pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini.

“Bukankah kemenangan besar di PRK Sg Besar dan Kuala Kangsar telah memberikan keyakinan penuh kepada PM dan BN bahawa tiada apa yang perlu dirisaukan lagi dengan skandal 1MDB?

“Ini hanyalah satu laporan audit, seperti kata Salleh, ia cuma satu komponen kecil untuk PAC menyediakan laporannya terhadap 1MDB.

“Bukan itu sahaja, malah semua pengkritik 1MDB dalaman seperti Tun Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal bukan lagi ahli Umno… Jadi apa yang perlu dirisaukan?,” ujarnya.

Related Articles