ARAU: Bekas Timbalan Pengarah Imigresen Negeri Perlis meninggal dunia ketika mengikuti kuliah subuh di Masjid Negeri Arau, hari ini.
Mangsa, Yahya Kadir, 65 yang juga seorang pesara dari Tambun Tulang tiba-tiba rebah sebelum tidak sedarkan diri ketika kuliah subuh sedang dijalankan di masjid berkenaan.
Pemangku Timbalan Ketua Polis Daerah Arau, Asisten Superintendan Mohd Norzuki Husain berkata kejadian jam 7.10 pagi ketika kuliah disampaikan selepas solat Subuh.
“Saya difahamkan mangsa bukan ahli kariah masjid itu namun akan hadir ke masjid berkenaan sekiranya ada program kuliah yang dianjurkan.
“Ketika itu mangsa sedang duduk sambil mendengar kuliah subuh. Mangsa tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri, orang ramai yang hadir cuba untuk mengejut mangsa beberapa kali tetapi tiada tindak balas,” katanya.
Pentadbiran Masjid Negeri kemudian menghubungi ambulans dan mangsa disahkan meninggal dunia di masjid itu oleh paramedik yang bertugas.
“Pemeriksaan terhadap tubuh mangsa tidak menemui sebarang tanda atau kesan perbuatan jenayah namun rekod perubatan menunjukkan beliau pesakit diabetes dan darah tinggi.
“Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya. –Berita Harian