Difahamkan, suspek yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TEKUN, ditangkap bersabit kes menerima wang suapan tersebut sebagai dorongan untuk membantu mempercepatkan proses bayaran tuntutan sebuah syarikat pemungut hutang, dua tahun lalu.
Suspek yang berpangkat Datuk dan berusia 62 tahun ditahan pada jam 5.15 di kediamannya Bukit Bandaraya, Shah Alam hari ini. Menurut sumber, kesalahan suspek dilakukan pada 15 Januari 2015 iaitu ketika masih memegang jawatan terbabit dan dia menerima wang suapan berjumlah 10 peratus daripada RM360,009.08 daripada sebuah syarikat pemungut hutang, di Kelab Shah Alam, Selangor.
Wang suapan bernilai RM36,000 terbabit merupakan 10 peratus daripada hasil kutipan ‘Hutang Lapuk TEKUN Nasional’ bagi November 2014. Sumber berkata, suspek yang memegang jawatan tersebut sejak 2008 hingga 2014 telah melantik syarikat pemungut hutang itu kononnya bagi memungut hutang yang tidak dibayar oleh peminjam lebih dari dua tahun.
Selain itu, suspek juga masih lagi masih dalam perbicaraan di mahkamah bagi dua pertuduhan menggunakan jawatannya untuk mendapatkan rasuah dengan meluluskan permohonan pinjaman program perintis kepada syarikat yang pemilik dan rakan kongsinya ada hubungan kekeluargaan dengan beliau. – BH Online