Bekas pegawai menteri pelancongan didakwa terima rasuah RM1.77 juta

KUALA LUMPUR: Bekas setiausaha sulit kanan kepada bekas menteri pelancongan, seni dan budaya diperintah membela diri atas lapan tuduhan menerima rasuah RM1.77 juta berkaitan tender perkhidmatan pengiklanan bawah kementerian itu enam tahun lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Saifullah Mohd Minggu @ Mohd Hisham, 33, pada akhir kes pendakwaan.

Bagaimanapun, mahkamah melepaskan dan membebaskan Mohd Saifullah daripada 11 tuduhan meminta dan menerima suapan berjumlah RM820,530 berhubung tender yang sama.

Hakim juga turut melepas dan membebaskan tunang Mohd Saifullah, Nurfadziana Abdul Kadir, 32, daripada tuduhan bersubahat dengan tertuduh menerima suapan RM232,000 selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Suzana memaklumkan kepada Mohd Saifullah bahawa bagi tujuan membela diri, dia mempunyai tiga pilihan, iaitu sama ada memilih untuk berdiam diri, memberi keterangan secara tidak bersumpah di kandang tertuduh, atau memberi keterangan bersumpah di kandang saksi yang boleh disoal balas.

Sementara itu, peguam Haijan Omar yang mewakili Mohd Saifullah memaklumkan mahkamah, anak guamnya memilih untuk memberi keterangan dari kandang saksi secara bersumpah dan boleh disoal balas.

Selain itu, katanya, pembelaan berhasrat memanggil tiga saksi termasuk Mohd Saifullah untuk memberi keterangan.

Prosiding hari ini turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Low Chin How, Noor Syafina Mohd Redzuan, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Nurul Atiqah Mohamad Alias.

Mengikut lapan tuduhan itu, Mohd Saifullah didakwa menerima suapan berjumlah RM1,765,000 daripada pemilik syarikat Inter Bev Network Sdn Bhd, Ronald Seto Kong Seng melalui Roslan Lahada sebagai dorongan untuk tertuduh berjanji mendapatkan tender “Perkhidmatan Penghasilan Penjenamaan (Brand) dan Kreatif (Creative)”.

Ini bagi kempen pengiklanan Tourism Malaysia kepada syarikat Inter Bev Network dan tender “Cadangan Promosi dan Pengiklanan Digital Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020” secara rundingan terus kepada syarikat Plan B Digital Sdn Bhd.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa tempat antaranya di sebuah pusat karaoke dan kafe di sebuah pusat beli-belah; Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC); di pejabat setiausaha sulit kanan kepada menteri di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; serta sebuah stesen minyak pada 21 Disember 2018 hingga 1 Mac 2019.

Bagi tuduhan meminta dan menerima rasuah, Mohd Saifullah didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 manakala Nurfadziana dituduh mengikut Seksyen 28(1). Kedua-dua mereka boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.

Mahkamah menetapkan 17 April ini bagi prosiding bela diri. -Bernama

Related Articles