Bekas kerani Sheila Majid dipenjara empat tahun

Hakim Zulqarnanin Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap Nasimah Kamarudin, 39, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah diakhir kes pembelaan.

Berdasarkan pertuduhan, Nasimah yang diamanahkan dengan buku cek milik Syarikat Magada Entertainment Sdn Bhd, didakwa dengan curangnya menunaikan lima keping cek atas namanya dan mendepositkan lapan keping cek ke dalam akaun bank miliknya.

Nasimah didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Balau, Damansara Heights antara 1 November 2007 dan 28 Mac 2008.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Ibu tunggal kepada dua anak itu menangis teresak-esak dalam kandang tertuduh sebaik mahkamah menjatuhkan hukuman.

Mahkamah yang memerintahkan hukuman itu berkuatkuasa pada Jumaat bagaimanapun membenarkan permohonan peguam Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid yang mewakili tertuduh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Sehubungan itu wang jaminan dinaikkam daripada RM10,000 kepada RM18,000.- Sinar Harian

Related Articles