Beliau yang digantung keahlian Umno sebelum ini melakukan tindakan tersebut bersama-sama 28 pimpinan Umno cawangan berkuatkuasa hari ini.
“Kami yakin telah ramai ahli dan kepimpinan Umno terutama di akar umbi hilang kepercayaan kepada Umno kerana matlamat perjuangan yang tidak lagi meletakkan rakyat sebagai keutamaan.
“Pengumuman ini selaras dengan cabaran beberapa pemimpin Umno meminta ahli yang tidak lagi menyokong Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak agar segera tinggalkan parti,” katanya dalam sidang media di Hotel De Palma Ampang, petang tadi.
Menurut Mohd Rafiq, keputusan tersebut dibuat mereka setelah hilang kepercayaan terhadap Umno dam kerajaan BN pimpinan Najib.
“Ada yang sudah tinggalkan Umno lebih awal dan sertai Parti Bersatu. Saya tidak akan memaksa mereka,” katanya, merujuk kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang ditubuhkan mantan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Saya sendiri sebagai orang Melayu akan memilih parti yang memperjuangkan bangsa saya tanpa meminggirkan bangsa lain. Buat masa ini, saya cenderung ke arah Bersatu tetapi belum menyertai secara rasmi,” katanya.