KUALA LUMPUR: Polis akan mengambil tindakan terhadap beberapa lagi individu dikaitkan dengan penahanan seorang warga Israel bersama enam senjata api di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihak polis telah mengenal pasti beberapa nama.
“Kita berjaya menemui semua senjata yang beliau miliki dan tinggal sekarang polis buat pengumuman penangkapan beberapa lagi yang terlibat…akan ada lagi pemantauan pihak polis setelah hasil soal siasat itu mendapati ada lagi individu yang disyaki terlibat.
“Jadi pada peringkat sekarang, kita serah kepada kebijaksanaan pasukan polis untuk buktikan betul atau tidak kedatangan lelaki itu seperti yang disebut atau yang lain, semua dalam rangka soal siasat,” katanya selepas majlis penerapan nilai murni dan ihya Ramadan sempena ulang tahun ke-11 Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di sini, malam tadi.
Kelmarin, media melaporkan seorang lelaki warga Israel berumur 36 tahun ditahan polis bersama enam pucuk pistol dan 200 peluru hidup di sebuah hotel di Jalan Ampang pada Rabu lepas.
Saifuddin berkata keamanan, ketenteraman awam dan keselamatan rakyat terjaga.
“Beri ruang kepada polis, ini kerja polis, buat masa sekarang semua pihak, termasuk jelata elak buat alasan dan spekulasi, saya yakin dengan kemajuan siasatan polis kerana tangkapan warga Israel ini yang gunakan pasport perjalanan Perancis berjaya dikesan dengan senjata dalam tempoh 48 jam.”
Katanya, Esscom yang kini melangkah ke tahun ke-11 memiliki rekod gilang-gemilang kerana berjaya mengekang jenayah penculikan untuk wang tebusan dan tiada kes lagi sejak 2020.‘
Ancaman keselamatan itu di Sabah jauh berkurangan dengan adanya Esscom, semua statistik menunjukkan Pantai Timur Sabah berpotensi sebagai destinasi pelancongan menarik.
“Beberapa bulan lepas, saya mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Sempadan dan Tourism Malaysia membuat pembentangan bagaimana kedatangan pelancong pada trend meningkat.”
Menurutnya, perkara itu dibantu perubahan strategi dari segi koordinasi, selain mengkategorikan kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) sebagai bukan kawasan perintah berkurung, sebaliknya perintah kawalan pergerakan.