Bayi seminggu curi tumpuan di Kem Penrissen

by SM Amin

Callysta Adora tiba jam 9 pagi untuk ‘menemani’ ibunya, Regina David, 34 yang masih berpantang untuk menunaikan tanggungjawab keluar membuang undi di kem tersebut.

“Saya keluar seawal jam 7.30 pagi, saya baru bersalin seminggu dan bawa anak kerana selepas ini mahu ke klinik bagi pemeriksaan kesihatan bayi,” katanya yang merupakan isteri kepada anggota tentera, Nicholas Pih kepada pemberita.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah yang mengadakan lawatan proses pembuangan undi di situ turut sempat menyapa pasangan tersebut.

“Terima kasih kerana keluar mengundi walaupun masih berpantang,” kata Hashim kepada wanita itu.

Dalam sidang media SPR yang diadakan di situ, Hashim turut memuji wanita kerana telah menunjukkan semangat menunaikan kewajipan sebagai pengundi walaupun masih berpantang.

“Pengundian ini melibatkan tentera dan pasangan masing-masing, kalau kita tengok di persekitaran tempat mengundi terdapat mereka yang membawa anak-anak kecil dan tidak tinggal di rumah.

“Semangat dia yang penting untuk keluar mengundi, saya merakamkan ucapan terima kasih kerana sanggup keluar dengan anak-anak kecil tadi baru seminggu usia telah keluar mengundi, ia menunjukkan tinggi semangat untuk mengundi dan menegakkan demokrasi dalam negara kita,” katanya.

 

Related Articles