Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Razak Md Said, berdasarkan laporan polis dibuat bapa mangsa, kira-kira 9.30 pagi Selasa, isterinya meletakkan anak mereka di bahagian tempat duduk belakang kereta untuk dihantar ke rumah pengasuh yang terletak tidak jauh dari kediaman pasangan berkenaan di Bandar Putra, dekat sini.
“Kira-kira jam 10 pagi, bapa mangsa terus ke tempat kerja di Pekan Saleng, dekat sini tanpa menyedari bahawa bayi berkenaan berada di belakang kenderaannya.
“Lelaki berkenaan kemudian menerima panggilan telefon dari pengasuh anaknya pada jam 3 petang, bertanyakan mengenai bayi berkenaan yang masih tidak dihantar ke rumahnya seperti kebiasaan.
“Sejurus menerima panggilan itu, dia kemudian terus ke keretanya dan mendapati anaknya dipercayai sudah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Razak berkata, lelaki itu kemudian membawa anaknya ke Hospital Kulai, di sini sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas.
Katanya, proses bedah siasat akan dijalankan pada jam 10 pagi Rabu, bagi mengetahui punca kejadian dan polis juga sedang menjalankan siasatan lanjut.
Kes itu diklasifikasikan sebagai pengabaian kanak-kanak sehingga menyebabkan kematian dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (a) Akta Kanak-Kanak 2001.