Kejadian itu disedari kira-kira pukul 9 malam selepas bapanya, Mohd. Ihtisyamuddin Mohd. Ashri, 29, datang untuk melawat bayinya yang dilahirkan pada Khamis lalu.
Mohd. Ihtisyamuddin berkata, apabila tiba di wad tersebut dia mendapati isterinya, Siti Norbaiti Bahanaharing, 26, menangis mengadu bayi bongsu daripada dua beradik itu hilang.
“Saya bertemu pihak hospital untuk mendapatkan kepastian dan jururawat memaklumkan bayi tersebut dibawa keluar dari wad pada pukul 6.47 petang.
“Jururawat memaklumkan seorang lelaki telah membawa keluar anak saya dari hospital. Saya melaporkan kejadian tersebut kepada polis,” katanya, memetik Kosmo Online.
Hasil tindakan pantas polis bayi tersebut dikesan berada dalam jagaan sepasang suami isteri berusia 20-an di Selising, Pasir Puteh dekat sini kira-kira pukul 10 malam.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, sebaik mendapat maklumat lokasi bayi tersebut pihaknya mendapatkan bantuan Ketua Balai Polis Selising, Pasir Puteh untuk memastikan keadaan bayi tersebut.
“Kedua-dua suspek serta bayi tersebut dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk pengesahan identiti bayi berkenaan.
“Hasil pengecaman yang dilakukan ibu bapa sebenar serta bantuan pihak hospital dalam proses di balai polis mendapati bayi tersebut merupakan mangsa yang dilaporkan hilang dari wad,” katanya.
Katanya, kes tersebut berjaya diselesaikan dalam tempoh kira-kira sejam manakala kedua-dua suspek ditahan pada pukul 12 tengah malam.
Tambahnya, bayi berada dalam keadaan selamat dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksan kerana menculik.