Bayi yang diletakkan di dalam kotak itu dipercayai ditinggalkan oleh ibunya sebelum dijumpai orang awam.
Difahamkan, satu anak patung turut ditinggalkan bersama bayi tersebut selain sekeping nota yang disyaki ditulis oleh ibu kandungnya.
Menurut nota tersebut, ibunya meninggalkan bayi tersebut kerana tidak mampu untuk menjaganya dan ingin memberikan ‘rezeki’ itu kepada yang lebih layak.
“Assalamualaikum, jika anda membaca nota ini, bayi ini dilahirkan pada 21 November 2016. Tindakan saya terhadap bayi ini adalah bukan saya tidak mahu tetapi saya tidak mampu.
“Jadi saya ingin memberi rezeki saya kepada mereka yang lebih layak dan mampu. Insya Allah jika punya jodoh kita akan berjumpa. I love you,” ujarnya dalam nota tersebut.
Gambar dan kisah mengenai penemuan bayi tersebut tersebar di laman sosial selepas dimuat naik oleh pengguna internet sejak malam Selasa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias mengesahkan penemuan berkenaan, memetik Utusan Online.