Bayi jalani pembedahan pindah hati di China selamat pulang

Rauqal yang berusia sembilan bulan itu selamat menjalani pembedahan di Hospital Renji, Shanghai, China pada 1 April lepas selepas menerima hati ayahnya, Mat Tarmizi Zali, 39.

Bayi itu yang mengalami masalah hati sejak dilahirkan, diterbangkan dari Shanghai, ke Kuala Lumpur pada 3.25 petang menaiki pesawat Malaysia Airlines Berhad MH 0389, sebelum menaiki penerbangan lain dari syarikat sama ke Johor Baharu.

Ketibaan mereka pada 10.30 malam di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, disambut Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd dan Komandan Pasukan Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) Kontinjen Johor, Datuk Lee Ban Heng.

Ketika ditemui pemberita, ibu bayi itu, Norashikin Gzali, 32, berkata penyakit yang dialami anaknya dikesan doktor selepas tiga hari dilahirkan dan selepas itu dia terus dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Kuala Lumpur.

Norashikin bersyukur kos pembedahan anaknya kira-kira RM150,000 ditanggung oleh SSPDRM dan hasil kutipan kebajikan daripada pihak yang prihatin.

“Kami berangkat ke Shanghai pada 17 Mac lepas dan sepanjang proses untuk pembedahan, kami banyak dibantu oleh Kedutaan Besar Malaysia di China malah Ketua Polis Johor juga ada menghantar wakil untuk memantau keadaan kami.

“Alhamdulillah, pada 1 April, selepas lebih lapan jam bertarung dalam pembedahan, Rayqal dilaporkan stabil,” katanya yang mengiringi bayi dan suaminya di China serta turut disertai seorang pengiring, Marsilayuhaini Baharuddin.

Selepas pembedahan keadaan bayinya bertambah baik sehingga dibenar keluar wad semalam dan pulang ke tanah air, katanya dan menambah pemeriksaan susulan selepas ini akan dilakukan di PPUM. – Bernama

Related Articles