Batal ceramah Zakir Naik, netizen lancar petisyen beri sokongan

by SM Amin

Dalam laman sosial Facebook, Wardina Safiyyah OfficialPage meminta penyokong pendakwah itu mengisi borang undian untuk menyatakan sokongan kepada pendakwah itu.

“Proteges Dr. Zakir Naik dari seluruh dunia akan hadir di sidang media jam 4.00pm di Hotel Putra hari ini. Kami dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur semata-mata demi sidang media ini.

“Oleh kerana ini, marilah kita mengisi borang undian ini untuk menyatakan sokongan terhadap Program Syarahan Dr Zakir Naik. Insya Allah, semoga ini merupakan usaha dan jihad kita untuk mempertahankan agama Islam yang diredhai dan dicintai,” menurut laman Facebook tersebut.

Tinjauan RakyatPost.my mendapati petisyen yang bertajuk ‘Wajarkah Program Syarahan Dr Zakir di sekitar Kuala Lumpur dan Melaka Diteruskan?’ itu mengandungi tiga soalan untuk diisi netizen.

“Undian ini bertujuan untuk memberi sokongan kepada Program Syarahan Dr Zakir di sekitar Kuala Lumpur dan Melaka kerana timbulnya desas-desus akhir-akhir ini yang menyebabkan beberapa pihak tidak bersetuju terhadap Program Syarahan Dr Zakir Naik seperti pertubuhan daripada bukan Islam iaitu HINDRAF dan MIC dan pertubuhan daripada Islam iaitu ASWAJA.

“Oleh kerana itu, kami melakukan undian ini untuk meraih pandangan anda untuk menyokong Program Syarahan ini supaya ianya berjalan seperti yang dirancang kerana pertubuhan-pertubuhan ini telah melakukan bantahan terhadap Program Syarahan Dr Zakir Naik,” menurut petisyen itu.

Tiga soalan yang perlu diisi netizen ialah Adakah Anda Menyokong Program Syarahan Dr Zakir Naik Diteruskan Tanpa Gangguan?; Pertubuhan Seperti HINDRAF dan MIC Sepatutnya Menghormati Islam Sebagai Agama Rasmi dan Tidak Sepatutnya Mencampuri Urusan Agama Islam?; dan Pertubuhan Seperti HINDRAF dan MIC Sepatutnya Hadir dan Berdiskusi Secara Ilmiah dan Harmoni, Bukan Mencetuskan Provokasi Yang Menggugat Keamanan Agama Di Malaysia.

Related Articles