Bapa Berdepan Hukuman Penjara 104 Tahun, Rogol Anak, Libas Isteri Dengan Parang

by Anis

KUALA LUMPUR: Seorang buruh berdepan hukuman 104 tahun penjara di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan merogol anak kandungnya, amang seksual fizikal, ugut bunuh dan melibas parang terhadap isterinya tahun lalu.

Tertuduh berusia 38 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik semua enam pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman.

Mengikut dua pertuduhan, tertuduh didakwa telah merogol anak perempuannya berumur 15 tahun yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun dan boleh juga dikenakan tidak kurang 10 sebatan.

Tertuduh turut didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak sama yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 20 tahun dan boleh disebat.Bapa kepada dua anak itu juga berdepan pertuduhan melibas isterinya berusia 36 tahun dengan sebilah parang sehingga menyebabkannya cedera di lengan kiri.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua hukuman itu di bawah Seksyen 324 kanun sama dan dibacakan bersama Seksyen 326(a) akta sama.

Bagi pertuduhan berikutnya, lelaki itu didakwa telah melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya dan dua anak kandungnya, berusia 16 dan 18 tahun dengan maksud mengacukan sebilah parang.

Tertuduh juga didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap anak perempuannya dan memaksanya mengikat anak lelakinya berusia 18 tahun dengan maksud hendak menakutkan akan membunuh anak dalam kandungan anak perempuannya itu.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tujuh tahun dan dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Semua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah beralamat di Jalan Keretapi Lama, Kampung Gangsa, Durian Tunggal, dalam daerah Alor Gajah antara Jun hingga Oktober tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana mangsa melibatkan isteri dan dua anak kandungnya.

Tertuduh bagaimanapun tidak mengemukakan sebarang rayuan bagi kesemua enam pertuduhan sebelum mahkamah menetapkan 18 Mac ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam. – MalaysiaGazette

Related Articles