Pesara berusia 68 tahun itu hadir di pejabat SRPM di Jalan Sultan Ahmad Shah bersama-sama anak lelakinya dan seorang peguam.
Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk Abd Aziz Aban berkata SPRM telah selesai menemu bual lelaki terbabit bagi melengkapkan siasatan terhadap dakwaan itu.
“Saya diberitahu bahawa mereka telah hadir pada kira-kira pukul 12.50 tengah hari untuk lengkapkan siasatan berhubung dakwaan itu,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi, hari ini.
SPRM juga membuat siasatan di rumah pesara terbabit petang ini, katanya.
Abd Aziz yang sedang menghadiri mesyuarat di Putrajaya, berkata SPRM juga akan mendapatkan keterangan ADUN berkenaan berhubung dakwaan itu dalam tempoh terdekat.
“Kami telah menghubungi ADUN itu namun beliau agak sibuk dengan tugasnya dan kami akan cuba mendapatkan keterangan beliau minggu ini,” katanya sambil memberitahu bahawa proses siasatan sedang berjalan dan berharap dapat diselesaikan minggu depan.
Beliau berkata setakat ini, SPRM telah mengambil keterangan lapan individu tidak termasuk pesara berkenaan, bagi membantu siasatan kes itu.
Isu urusan ‘rasuah untuk rumah’ itu terbongkar Isnin lepas, apabila Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong mendedahkan klip video yang memaparkan rakaman perbincangan mengenai pembayaran untuk mendapatkan rumah kerajaan negeri.
Oh berkata isi kandungan perbualan dalam video itu menunjukkan ia dirakam tahun lepas, dan bapa ADUN berkenaan dilihat bersama-sama seorang orang tengah sedang melayan aduan daripada seseorang yang dipercayai telah membuat pembayaran, namun tidak mendapat rumah berkenaan.
Sementara itu, Oh pada sidang akhbar di sini hari ini berkata Gerakan akan menyerahkan bahan bukti mengenai dakwaan rasuah yang dipercayai melibatkan bapa ADUN itu kepada Pejabat Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.
“Ini bukan masalah baharu tetapi mengapakah kerajaan negeri tidak mengambil tindakan mengatasinya, sebaliknya terus membisu dan enggan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menyiasat dakwaan rasuah itu.
“Ini bukan perkara politik tetapi ini masalah rakyat yang gagal diselesaikan oleh kerajaan negeri ini. Jadi kami ingin membawa perkara ini kepada pengetahuan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas,” katanya. – Bernama