Banjir pulih sepenuhnya di Kelantan, hanya 78 mangsa di Terengganu

Rantau Panjang yang sebelum ini mencatat bilangan mangsa paling tinggi melebihi 10,000 orang, turut kembali le asal.

Berdasarkan portal e-Banjir, seramai 46 mangsa terakhir yang berada di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Kubor 1 mula dibenarkan pulang ke rumah kira-kira jam 2 petang tadi.

Penduduk yang terjejas banjir dalam proses membersihkan kediaman yang dibanjiri lumpur akibat banjir yang melanda sejak seminggu lalu. Kelantan mula dilanda banjir pada 31 Disember lalu di tujuh daerah dengan hampir 15,000 penduduk terpaksa dipindahkan.

Sementara itu di Terengganu, jumlah mangsa banjir yang masih ditempatkan di pusat pemindahan hanya tinggal 78 orang.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, hanya sebuah pusat pemindahan masih dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Mentagau, Dungun.

“Pusat pemindahan itu kekal menempatkan 78 mangsa daripada 20 keluarga di sekitar Kampung Durian Mentagau.

“Sebuah lagi pusat pemindahan iaitu SK Gemuruh di Kuala Nerus telah ditutup sepenuhnya pada pukul 1 petang tadi,” katanya, memetik Kosmo Online.

 

Related Articles