Banjir kilat di Cameron kesan penerokaan lama

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, tiada penerokaan haram baru dikesan di daerah itu ekoran Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) sentiasa memantau sebarang aktiviti penerokaan di kawasan tersebut.

“…yang runtuh itu kesan lama, bukannya kita lulus bulan lepas, runtuh bulan ini. Ini akibat penerokaan haram dahulu. Sekarang, kita melalui NRE dan MKN menangani masalah itu…tiada lagi penerokaan haram,” katanya selepas melancarkan Pelan Strategik Pembangunan Perumahan 2016-2020 dan PR1MA Pahang Parlimen Temerloh hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan media bahawa penerokaan tanah secara berleluasa adalah punca banjir kilat di Cameron Highlands.

Adnan berkata, NRE dan MKN sudah mengambil alih tugas memantau penerokaan di daerah itu memandangkan kerajaan negeri tidak mampu menangani masalah berkenaan secara sendiri.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Pengerusi BN Pahang meminta kepimpinan parti komponen BN berfikir secara rasional dan tidak keliru dengan pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Persendirian, iaitu Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016.

Pada 26 Mei lepas, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan RUU persendirian bagi meminda Seksyen 2 akta tersebut untuk menyebut Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa terhadap orang Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah jadual kesembilan Undang-undang Persekutuan.

Abdul Hadi berkata, ia juga bagi memasukkan Seksyen 2A yang menyebut dalam melaksanakan undang-undang jenayah di bawah seksyen tersebut, Mahkamah Syariah mempunyai hak untuk menjatuhkan hukuman berkaitan kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen berkenaan, selain hukuman mati. – Bernama

Related Articles