PETALING JAYA: Seorang lelaki yang akan melangsungkan perkahwinan minggu depan didakwa di Mahkamah Majistret Sepang atas tuduhan mencederakan seorang warga emas bulan lepas.
Peniaga Mohammad Zakaria Mohd Razali, 26, mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu selepas dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan.
Mohammad Zakaria didakwa menyebabkan seorang warga emas berusia 73 tahun cedera parah di Taman Putra Prima, Puchong, antara 9 dan 9.20 pagi, pada 30 Januari lepas.
Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Sabrina Zubairi memohon jaminan RM10,000 bagi tertuduh, namun peguam mewakili tertuduh, Fazilawati Hussin memohon supaya jaminan dikurangkan.
Fazilawati berkata, anak guamnya hanya berpendapatan RM2,000 sebulan dan perlu menanggung pengajian dua orang adik serta kos perubatan ibunya yang menghidap penyakit hati dan darah tinggi.
“Dia juga akan melangsungkan perkahwinan pada 17 Februari ini di Kelantan, di mana beliau perlu berada di kampung secepat mungkin untuk membuat persiapan bagi majlis yang bakal berlangsung tidak lama lagi,” katanya.
Majistret Muhammad Bukhori membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000, serta mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Beliau menetapkan 18 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes, lapor Bernama
Bulan lepas, tular di media sosial kejadian seorang pesara dipukul seorang lelaki yang turut mengeluarkan kata-kata kesat ketika mangsa dalam perjalanan dari Brickfields, Kuala Lumpur ke Putra Perdana untuk berjumpa kawan.
Mangsa kemudian dikatakan meneruskan perjalanan namun suspek mengekori keretanya.
Apabila tiba di Putra Perdana, suspek menyekat kereta mangsa dan menarik warga emas itu keluar sebelum menumbuknya di mata serta menendangnya bertubi-tubi.
Warga emas itu kemudian ditinggalkan di lokasi tersebut sebelum ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan.
Mangsa mengalami kecederaan bengkak di kepala, lebam di bahagian mata kiri, patah tulang pipi kiri serta patah di bahagian bawah tulang mata kiri. -Bernama