Bahana Minum Jus Rakan Untuk Berbuka, Lelaki Warga Bangladesh Kena Tikam

KUALA LUMPUR: Hanya terminum jus oren milik rakannya semasa berbuka puasa, seorang pekerja kilang mati ditikam dalam kejadian di Seksyen 36 Shah Alam, Selangor.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu jam 7.20 malam semalam.

Katanya, hasil siasatan pihak polis mendapati simati seorang warganegara Bangladesh berumur 49 tahun dan bekerja sebagai pekerja am.Mangsa dan suspek tinggal bersama-sama di dalam kontena yang dijadikan sebagai asrama oleh kilang mereka.

“Kejadian berpunca daripada suspek marah apabila simati meminum air orennya semasa berbuka puasa sebelum suspek bertindak menikam simati beberapa kali dengan menggunakan sebilah pisau yang diambil dari dapur.

“Bertindak atas maklumat itu, pada jam 7.30 malam, polis telah membuat tangkapan ke atas suspek di dalam kes ini di tempat kejadian tersebut,’ katanya ketika dihubungi awal pagi tadi.

Tambah beliau, suspek seorang lelaki warganegara Pakistan berumur 51 tahun.

Mohd Iqbal berkata, polis merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk menikam mangsa.

“Suspek akan direman pagi ini di Mahkamah Shah Alam untuk membantu siasatan lanjut polis.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun jika sabit kesalahan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Related Articles