Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, partinya terbuka untuk bekerjasama dengan parti baru itu namun harus meneliti terlebih dahulu agenda dan ideologi parti tersebut.
Menurutnya, PKR tidak mempunyai masalah dengan penubuhan parti itu dalam menyahut semangat dan menyuburkan suasana demokrasi di dalam negara.
“Kita meraikan penubuhan parti-parti poltiik baru kerana ini dapat menyuburkan suasana demokrasi dalam negara.
“Namun sama ada kita akan bekerjasama dengan parti baru ini atau tidak, ia tertakluk kepada agenda dan ideologi parti tersebut, sekiranya parti ini bersetuju bersama-sama dengan agenda reformasi,” katanya selepas merasmikan majlis pecah tanah projek pembangunan perumahan Selangorku di Puchong pada Selasa.
Selain parti baru itu, Mahathir minggu lalu juga mengumumkan satu gabungan pembangkang besar akan dibentuk untuk merealisasikan objektif pergerakan Selamatkan Malaysia.
Sementara itu, Azmin yang diminta diminta mengulas saranan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man supaya diadakan gencatan senjata sesama pembangkang, beliau mengulangi pendiriannya supaya semua parti-parti politik untuk kembali ke meja rundingan.
“Saya telah mengeluarkan kenyataan, pegang kenyataan saya. Kami sokong idea itu dan kita harus menggalakkan semua parti politik untuk kembali ke meja rundingan bagi berbincang.
“Kita mesti merendah diri dan teruskan perbincangan,” katanya.