Azmin sedia jumpa Hadi Awang

Menteri Besar Selangor itu berkata beliau telah pun mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pengarah Pilihan Raya Pusat PAS, Datuk Mustafa Ali untuk berbincang isu berkenaan.

“Saya juga ada berjumpa dengan pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) dan Ketua Menteri Pulau Pinang (Lim Guan Eng). Rundingan berjalan dengan positif dan masih lagi terbuka, harap ia (siapa calon bertanding) bakal dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program SmartSelangor Food Stamp di Shah Alam, pada Jumaat.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian PAS yang berkeras mahu meletakkan calon merebut kedua-dua kerusi Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Parlimen Kuala Kangsar, Perak.

Semalam media melaporkan PAS telah menyerahkan enam nama calon bagi dua PRK itu kepada Dewan Ulama bagi proses saringan.

Kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kosong berikutan kematian penyandang masing-masing Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Wan Ahmad, korban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Kedua-dua PRK akan diadakan serentak pada 18 Jun dan penamaan calon pada 5 Jun. – Bernama

Related Articles