Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Norazlin Othman menetapkan tarikh itu semasa prosiding di dalam kamar dengan dihadiri peguam Michelle Kummar yang mewakili Azmin.
Michelle ketika ditemui pemberita berkata permohonan anak guamnya itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Datuk Hanipah Farikullah.
Azmin, yang juga Anggota Parlimen Gombak dan Timbalan Presiden PKR, memfailkan permohonan itu pada 15 Ogos lepas dengan menamakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Audit Negara Tan Sri Amrin Buang dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketiga.
Dalam permohonannya, Azmin menuntut suatu deklarasi bahawa tindakan responden pertama iaitu perdana menteri untuk mengklasifikasikan laporan 1MDB sebagai rahsia rasmi adalah suatu tindakan dalam konflik kepentingan.
Beliau juga menuntut suatu deklarasi bahawa klasifikasi laporan 1MDB sebagai rahsia rasmi oleh responden kedua (Amrin) adalah menyalahi undang-undang dan ultra vires Perlembagaan Persekutuan, Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan/atau Akta Audit 1957.
Selain itu, Azmin menuntut suatu perintah mandamus bagi memaksa semua responden, pekerja-pekerja, pegawai-pegawai, ejen-ejen atau dengan apa jua cara dengan serta-merta untuk mengklasifikasikan semula Laporan 1MDB menurut Seksyen 2C OSA 1972 dan menyiarkannya kepada orang ramai.
Azmin mengemukakan tuntutan berkenaan dengan alasan bahawa keputusan untuk mengklasifikasikan laporan 1MDB sebagai rahsia rasmi adalah tidak berpelembagaan kerana dibuat dengan melanggar Perkara 107 Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, katanya, keengganan responden untuk mengklasifikasikan semula laporan berkenaan adalah tidak munasabah. –Bernama