Azmin belajar helah dari Tun Mahathir

by SM Amin

Kata Abdul Khalid, tindakan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali itu mirip kepada apa yang dilakukan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika memperkenalkan penjana-penjana kuasa bebas (IPPs)

“Kelewatan pembinaan loji Langat 2 tidak boleh dijadikan alasan untuk beliau membelanjakan RM800 juta untuk membina loji baharu.

“Mungkin banyak yang beliau telah pelajari daripada helah mantan Perdana Menteri, mentor utama beliau dalam penganugerahan konsesi penjanaan tenaga melalui Purchasing Power Agreement (PPA) kepada beberapa syarikat swasta terpilih atau independent power producers (IPPs) kononnya sebagai penyelesaian terbaik bagi krisis tenaga pada tahun 1990an,” katanya di laman sosial Facebook beliau.

Kerajaan Selangor memperuntukkan RM800 juta untuk membina dua loji rawatan air baru di Labohan Dagang, Kuala Langat dan Semenyih 2 bagi memastikan bekalan air mencukupi sehingga 2019.

Azmin kemudiannya mempersalahkan Abdul Khalid atas kelewatan projek Loji Langat 2 kerana didakwa bertanggungjawab dalam penjualan tanah bagi membangunkan kemudahan enap cemar kepada pihak ketiga.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan itu, Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau bersedia untuk membantu Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) menyiasat isu tanah dan air seperti yang dibangkitkan oleh Azmin.

“Saya bersedia membantu Selcat menyiasat isu tanah dan air yang telah dibangkitkan oleh Menteri Besar Selangor.

“Dengan izin Puan Speaker, saya akan mengambil peluang untuk menegaskan pendirian saya didalam Dewan Negeri Selangor ketika pembentangan laporan jawatankuasa pada minggu hadapan,” ujarnya.

Related Articles