ATM nafi dakwaan bayaran tertunggak kepada balu Kapten Hasman

Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussien, ATM telah menjelaskan bayaran berdasarkan syarat perkhidmatan anggota tentera berkenaan selama lapan tahun.

“Sejak awal tahun lalu, jumlah yang telah diterima oleh Pn Hazwani ialah sebanyak RM274,542.49. Ini termasuklah pendahuluan gaji, insurans kelompok, ganjaran dan tunggakan pencen serta Faedah Ganti Cuti Rehat (FGCR).

“Selain itu, beliau turut menerima bayaran RM916.75 setiap bulan(pencen terbitan bulanan),” jelas Hishamuddin melalui satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, bayaran tersebut telah diberikan kepada balu arwah, Hazwani Ahmad.

Semalam, Hazwani melalui catatan Facebooknya mendakwa pihak ATM dan juga menteri gagal dalam melunaskan janji untuk membuat bayaran terhadap keluarga arwah.

Malah, dia turut mendakwa bayaran tidak dapat dilunaskan atas alasan kematian suaminya adalah disebabkan kecuaian diri sendiri.

Susulan daripada dakwaan itu, Hismuddin tampil untuk menjelaskan keadaan sebenar dan menambah bahawa kerajaan sedia untuk memberi bantuan tambahan terhadap keluarga Allahyarham Kapten Hasman.

“Bagaimanapun, sekiranya imbuhan dan bayaran yang diterima masih belum mencukupi, saya sedia mendapatkan bantuan daripada pihak ketiga termasuk pihak industri pertahanan bagi membantu beliau dan anak-anak.

“Sesungguhnya, isu kebajikan anggota sangat dekat di hati saya. Semoga segala masalah yang dihadapi dapat diselesaikan dengan baik,” tambah Hishamuddin lagi.

Kapten Hasman telah meninggal dunia akibat dihanyut banjir dalam kejadian di Missouri, Amerika Syarikat pada 26 Disember 2015.

Jenazah Kapten Hasman telah dibawa pulang ke Malaysia pada 6 Januari lalu dan selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Durian Daun, Masjid Tanah.

Related Articles