AS Didesak Pastikan Israel Patuh Resolusi Gencatan Senjata

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri menggesa supaya gencatan senjata di Gaza dilaksanakan segera dan mematuhi resolusi yang diluluskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSCS) pada Isnin lalu.Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mendesak supaya Amerika Syarikat (AS) memastikan Israel mematuhi resolusi yang pertama kali diluluskan tanpa veto selepas hampir enam bulan menyerang Gaza.“Kita mesti segera melegakan penduduk Gaza daripada kesakitan dan penderitaan yang mereka alami selama hampir enam bulan.“Khususnya, Amerika Syarikat mesti mengatasi sekutunya untuk menghormati kehendak masyarakat antarabangsa dan dengan itu mematuhi gencatan senjata dan membenarkan kemasukan segera dan besar-besaran bantuan kecemasan,” katanya dalam kenyataan.Menurut Anwar, kerajaan dan rakyat Malaysia menyatakan sokongan penuh terhadap resolusi yang diluluskan pada Isnin.Selain gencatan senjata segera, Malaysia turut menyokong pembebasan segera semua tebusan dan penghantaran bantuan dipercepatkan ke Gaza.“Demi Ramadan, dalam semangat yang musim ini bertujuan untuk melahirkan renungan, pembaharuan iman dan kembali kepada keluarga, resolusi yang mengikat secara sah hari ini mesti dikuatkuasakan sekarang,” katanya.Anwar turut memuji keberanian dan komitmen terhadap kemanusiaan oleh 10 ahli majlis yang dipilih iaitu Algeria, Guyana, Ecuador, Jepun, Malta, Mozambique, Sierra Leone, Slovenia, Korea Selatan dan Switzerland yang menyokong resolusi gencatan senjata.Buat pertama kali sejak serangan Israel di Gaza tercetus lebih lima bulan lalu, UNSC pada Isnin akhirnya sebulat suara mengundi untuk melaksanakan gencatan senjata di wilayah terkepung itu.Amerika Syarikat telah menggunakan tiga kali kuasa veto untuk menolak resolusi gencatan senjata akhirnya mengambil pendirian berkecuali manakala 14 negara anggota tetap UNSC sepakat menyokong draf tersebut. – MalaysiaGazette

Related Articles