Adun Lenggeng Datuk Ishak Ismail, 65, berkata, Anwar sering mengkritik Dr Mahathir semasa beliau berasa bersama-sama rakan-rakan rapatnya.
“Di khalayak ramai, Anwar tidak mengkritik Mahathir secara terbuka malah membela beliau.
“Tetapi secara peribadi, apabila berada bersama rakan-rakan rapat atau kawan-kawan politiknya, Anwar akan mengkritik Mahathir dalam isu-isu berkaitan dasar kerajaan hinggalah kepada bangsa Mahathir,” katanya semasa menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Ishak merupakan saksi ketujuh defendan yang memberi keterangan pada hari keempat perbicaraan kes saman fitnah RM100 juta Anwar, yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan meliwat, terhadap Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Ishak, yang juga Ketua Bahagian UMNO Seremban, berkata beberapa bulan sebelum Anwar dipecat daripada kabinet Dr Mahathir, bekas ketua pembangkang itu kerap menyokong dan menggalakkan beliau untuk mengkritik Dr Mahathir.
Anwar juga pernah menawarkannya ‘peluru’ untuk digunakan terhadap Mahathir, katanya sambil menjelaskan ‘peluru’ bermaksud idea ketika disoal peguam Latheefa Koya yang mewakili Anwar.
“Sering kali, Anwar bangkitkan topik untuk mengkritik Mahathir dan rakan yang rapat dengan Anwar akan tambah ‘lada dan garam’ ke atas kritikan itu,” katanya.
Ishak berkata, percakapan Anwar di khalayak ramai adalah jauh berbeza dengan percakapannya secara peribadi.
“Di khalayak ramai, semua yang disebut Anwar adalah janji untuk Mahathir tetapi secara peribadi semua yang disebut adalah racun untuk menentang bekas Perdana Menteri itu,” katanya.
Pada 7 Mac, 2008, Anwar memfailkan saman terhadap Khairy dan menuntut RM100 juta sebagai ganti rugi kerana mendakwa Khairy yang ketika itu naib ketua Pemuda UMNO telah mengeluarkan perkataan memfitnah terhadapnya dalam ceramah di Lembah Pantai di sini pada 20 Februari 2008.
Anwar mendakwa perkataan memfitnah dan klip video bertajuk ‘Anwar and kin no threat’ telah dimuat naik dalam beberapa laman web termasuk Malaysiakini.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Azizul Azmi Adnan bersambung 13 Disember ini. – Bernama