Siti, peguam aktivis yang berusia 53 tahun mula mencuri perhatian ramai selepas tampil memperjuangkan hak orang Asli dan masyarakat pribumi. Malah, namanya lebih menjadi sebutan dalam kalangan masyarakat selepas insiden beliau menunjukkan jari tengah kepada hadirin dalam sebuah wacana, baru-baru ini.
Dengan sikap terbuka beliau itu, maka ‘kesakitan’ yang perlu ditanggungnya adalah kritikan dan cemuhan orang ramai yang melemparkan kata-kata kesat termasuk membabitkan penampilannya, tambahan pula dengan imej ‘berambut perang’.
Semalam, Siti dalam satu temuramah bersama Malay Mail Online berkongsi bagaimana beliau berdepan dengan kritikan, memilih untuk tidak melayan segala kritikan tersebut dan menyuarakan perasaan ‘gembira’ beliau terhadap penahanan bekas timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Apabila dia (Anwar Ibrahim) ditangkap, saya boleh beritahu anda bahawa saya adalah orang paling gembira di London. Saya tidak bergurau, pada waktu itu saya rasa Malaysia selamat. Malangnya, sudah tentu ramai orang yang sudah pun dipengaruhi olehnya ketika itu,” kata Siti yang pernah menetap selama 17 tahun di London sejak dari 1987 hingga 2004, dipetik Malay Mail Online, pada Ahad.
Siti yang juga graduan dalam jurusan Undang-Undang dari Queen Mary University of London berkata demikian kerana menurutnya, Anwar Ibrahim, yang merupakan bekas pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) adalah individu yang didakwa bertanggungjawab membawa masuk Islamisasi ke dalam Malaysia.
“Dia yang bersalah, dia yang membawa Islamisasi ke Malaysia. Tidak salah untuk membawa masuk perkara yang baik, tetapi dia membawa masuk fahaman Islam Wahabi.
“Mengapa anda mahu untuk membawa tafsiran fahaman Wahabi dalam Islam? Mereka mencampur-aduk budaya Arab ke dalam Islam,” jelas Siti dalam artikel bertajuk “10 things about: Siti Kasim, lawyer and activist”.
Anwar, ialah bekas Presiden ABIM yang ketiga sebelum beliau menyertai UMNO pada tahun 1982.