Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menggulung perbahasan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, berkata sebanyak 152 perjumpaan yang melibatkan tujuan rawatan kesihatan telah diadakan di Penjara Sungai Buloh.
Sembilan lagi rawatan telah dibuat di Hospital Kuala Lumpur.
Anwar juga dibenarkan mengadakan perjumpaan dengan keluarganya sebanyak 19 kali di penjara dan 13 kali di hospital, 18 perjumpaan dengan peguam serta 33 dengan pakar psikologi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata bekas timbalan Perdana Menteri itu juga telah berjumpa dengan peguamnya sebanyak 85 kali di luar mahkamah, menghadiri perbicaraan makhamah sebanyak 24 kali, menghubungi keluarga menggunakan telefon sebanyak 38 kali, menggunakan perpustakaan penjara sebanyak 52 kali dan menggunakan Seksyen 31 Akta Penjara selama lima kali termasuk menghadiri pengebumian bapa beliau April tahun lepas dan menemui Jawatankuasa Disiplin Majlis Peguam pada Jun lepas.
“Walaupun beliau tidak diberikan keistimewaan, tetapi langkah-langkah yang dilakukan oleh Jabatan Penjara adalah langkah-langkah yang terdapat dalam Akta Penjara,” katanya.
Ahmad Zahid berkata selain itu, Anwar juga dibekalkan dengan beberapa keperluan yang disyorkan oleh pakar perubatan seperti katil hospital yang berspesifikasikan khas, kerusi dan meja, fasiliti mandi air panas dan sejuk, tandas duduk dan kipas di dinding.
Makanan yang dibekalkan ialah seperti bijirin, susu rendah lemak, buah kismis, kurma, madu dan minuman protein, katanya.
“Ini harus dilihat sebagai mematuhi peraturan dan pada masa yang sama diterjemahkan sebagai rasa perikemanusiaan yang tinggi oleh pihak penjara,” katanya.
Ahmad Zahid juga memberitahu dewan bahawa walaupun Anwar, sebagai seorang banduan tidak dibenarkan untuk menjalani rawatan perubatan di luar negara, beliau dibenarkan untuk memilih dan membawa masuk pasukan perubatan pilihan iaitu dari George Washington University dan peralatan perubatan ke dalam negara bagi menjalankan rawatan di hospital kerajaan yang dipilih.
Katanya Presiden Amerika Syarikat Barack Obama semasa menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-27 di sini November lepas, juga ada membangkitkan isu rawatan kesihatan Anwar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Perdana menteri telah memberikan penjelasan terhadap pendirian dan tawaran kerajaan kepada Anwar, dan Presiden Obama telah mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri terhadap keputusan yang dibuat kerajaan Malaysia itu,” katanya.
Anwar menjalani hukuman penjara selama lima tahun kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan. – Bernama