KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini digesa menghayati semangat Ramadan dengan meningkatkan amalan selain menggilap semula kekuatan, keimanan, akhlak dan disiplin diri.
Perdana Menteri yang mengakhiri lawatan rasmi ke Jerman semalam turut menempelak segelintir pihak yang mendakwa beliau meringankan soal ibadah kerana mengaitkan Ramadan daripada segi kesedaran, masalah kemiskinan dan disiplin.
Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menafikan dirinya tidak mempedulikan nilai spiritual dan ibadah apabila menyebut berkaitan Islam dari segi tata kelola.
Tegasnya, perbicaraan mengenai Islam tidak boleh terlepas soal hukum tetap termasuk ibadah khusus.
“Alim ulama mengingatkan kita Ramadan ini adalah madrasah untuk mengukuh dan mengilap semula kekuatan keimanan dan akhlak kita dan displin kita sebab itu ada kupasan alim ulama yang menyatakan Ramadan ini mengupas permasalahan etika yang lebih luas.
“Apa guna masuk madrasah (Ramadan) tetapi sama juga kedudukan macam tahun lalu. Masuk madrasah maksud disekolahkan semula, masuk sekolah ada ujian tetapi ujian kita tidak meningkat (daripada segi) iman, akhlak, kekuatan semangat, disiplin tidak meningkat.
“Sebab itu ujian Ramadan harus menghasilkan peningkatan,” katanya dalam ucapan sempena perjumpaan beliau bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan Seri Endon hari ini.
Hadir sama adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Dalam pada itu, Anwar memberitahu, sekiranya ada semangat Ramadan dalam kehidupan – masalah negara akan lebih terkawal seterusnya kejayaan itu dapat disampaikan kepada dunia luar.“Ibadah itu harus memberi makna lebih luas, bagaimana boleh kita sempurnakan Ramadan kemudian sambut dengan pembaziran luar biasa, tidak mempedulikan nasib masyarakat miskin.
Bagaimana dalam Ramadan masih lagi kita teruskan amalan mengambil komisen dan rasuah, maknanya penghayatan tidak ada.“Saya ingat kita hilang pada penghayatan, sebab itu kuat Islam pada jeritannya, pada maki hamun, tidak pada penghayatan,” katanya lagi.
Sementara itu, Anwar berkata, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim turut bertitah umat Islam di negara ini yang sedang menjalani ibadah puasa supaya tidak melakukan pembaziran.
“Semalam saya menghadap santai dengan Yang di-Pertuan Agong, malam ini ada majlis buka puasa. Menarik singgungan baginda dalam perbincangan santai. Baginda bertitah, buka puasa sepatutnya minum air sikit, kurma sebiji dan solat Maghrib dulu.
“Sebab pembaziran, (majlis) santapan di Istana (Negara) itu kadang lumayan, jadi hal ini mengingatkan kita bahawa cermati supaya wang itu dimanfaatkan kepada orang yang memerlukan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette