Annuar terima keputusan MARA dengan lapang dada

Memetik laporan Berita Daily, Annuar berkata beliau kini berada di luar negara dan tidak boleh memberikan kenyataan berhubung perkara itu.

“Saya di luar negara sekarang, saya tidak boleh bercakap sekarang, terima kasih,” katanya ringkas.

Selain jawatan penggantungan jawatan pengerusi, Annuar turut digantung tugas sebagai Pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB) berkuat kuasa tarikh sama.

Sehubungan itu semua tugas Annuar di agensi itu akan dipangku Ahli Majlis MARA, Datuk Dr Yusof Yacob.

Keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat tergempar yang bermula sejak jam 9 pagi di tingkat 26, ibu pejabat MARA, di ibu negara.

Mesyuarat berkenenaan dipengerusikan Dr Yusof Yacob dan Prof Emeritus Datuk Dr Abu Azam Md Yassin.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat itu, Dr Yusof berkata, Annuar sudah dimaklumkan mengenai penggantungan tugasnya dan beliau akur dengan keputusan itu.

Annuar yang juga Ketua Penerangan Umno sebelum ini didakwa menyalahgunakan wang Mara dan UniKL untuk menaja The Red Warrior (TRW).

Perkara itu didedahkan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Iskandar menerusi beberapa dokumen yang dimuat naik di laman Facebook Johor Southern Tigers yang menunjukkan bahawa UniKL terpaksa mengurangkan biasiswa pelajar-pelajar Malaysia dari RM2 bilion kepada RM1.3 bilion bagi tahun 2016.

Beliau bagaimanapun menafikan perkara itu.

Sementara itu, memetik kenyataan di laman Facebook miliknya, Annuar berkata beliau tidak mempunyai maklumat berkenaan mesyuarat khas tersebut.

Tambahnya, tiada pihak yang meminta penjelasannya termasuk daripada Ahli Majlis MARA atau Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri sebelum keputusan tersebut diambil.

“Saya tidak tahu menahu hal mesyuarat khas ini dan saya juga belum mendapat maklum apa isunya kerana setakat ini saya tidak pernah di minta apa-apa penjelasan oleh sesiapa baik ahli majlis atau menteri.

Mesyuarat (Ahli) Majlis di jadualkan pada 14 Februari 17 dan saya bercadang untuk berbincang isu-isu berkaitan tetapi nampaknya menteri telah memberi kebenaran untuk mesyuarat khas diadakan terlebih awal dan tanpa kehadiran saya,”kata Annuar.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, sebagai penjawat awam yang dilantik menteri, beliau berlapang dada menerima keputusan tersebut.

“Sebagai penjawat jawatan yang di lantik oleh menteri, saya menerima apa sahaja secara berlapang dada dan penuh kebertanggungjawaban terutama dalam rangka menjalankan tugas yang diamanahkan kepada saya.

“Prinsip integriti dan amanah Insha Allah sentiasa saya utamakan,” katanya, dan menambah, akan memberikan kenyataan berhubung isu tersebut minggu hadapan.

“Biar segalanya tenang dulu dan tidak perlu terburu buru.”

Related Articles