Meskipun gagal mencapai matlamat, usaha yang dilakukan oleh jurucakap penganjur #TangkapMO1, Anis Syafiqah Mohd Yusof menarik sekitar 1,000 untuk berhimpun itu patut dipuji.
Tanpa sebarang pengalaman dengan usia yang baru mencecah 24 tahun, penglibatan Anis sebagai aktivis politik perlu diberi perhatian terutamanya Puteri UMNO yang sehingga kini masih gagal menonjolkan ikon mereka.
Anis bukan wanita muda pertama yang diketengahkan untuk menjadi ikon mahupun mengetuai gerakan pelajar dan orang muda untuk menentang kerajaan. Pembangkang sentiasa mempunyai watak-watak baru yang berani untuk ke hadapan meskipun lawan yang bakal dihadapinya merupakan seorang Perdana Menteri.
Berbeza dengan Puteri UMNO, ketika DAP menampilkan Dyana Sofea sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan, kemudiannya lahirnya Syefura Othman atau Rara yang memutuskan untuk menjadi ahli seumur hidup DAP, dan terbaru Anis, pergerakan sayap UMNO itu seolah-olah masih belum bangkit dari tidur.
Puteri UMNO gagal berfungsi untuk menarik golongan remaja untuk menyertai UMNO. Mereka tidak mempunyai ikon untuk menghidupkan suasana di dalam UMNO, dan menjadi pelengkap kepada Pergerakan Pemuda dan Wanita UMNO sedia ada.
Selepas 15 tahun penubuhannya, visi dan misi pergerakan sayap UMNO yang satu ini semakin kabur.
Adakah peranan Puteri UMNO ketika ini cukup sekadar untuk memenuhi setiap program yang diadakan dan menjadi pembawa bunga manggar untuk menyambut kedatangan Menteri dan Timbalan Menteri di sesuatu majlis?
Adakah Pergerakan Puteri UMNO berjaya menambah keahlian berkualiti sehingga 500,000 seperti yang disasarkan dalam usaha menjadi sayap yang benar-benar berkesan untuk UMNO?
Jika kewujudannya tidak menambah kekuatan parti, tiada pun tidak terasa kehilangan, adalah lebih baik dibubarkan sahaja pergerakan sayap ini.