Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, mangsa, Nur Elisa Aikal Mohd. Zulazamani, 16, mendakwa dia telah dipukul oleh seorang pelajar perempuan tingkatan lima.
Dia mendakwa turut diraba dalam kejadian itu selain kainnya diselak dan perbuatan itu dirakam pelajar lain sebelum videonya disebar dalam kalangan mereka.
Difahamkan, semasa kejadian terdapat 10 pelajar berada di tandas terbabit, tetapi hanya suspek sahaja yang memukulnya.
Menurut ibu saudara mangsa, Shamsilawati Che Daud, 36, anak saudaranya itu tidak pernah bercakap atau bertegur sapa dengan suspek yang merupakan pelajar di sekolah yang sama.
“Seniornya itu memanggil anak saudara saya masuk ke tandas sebelum memukulnya bertubi-tubi. Pada mulanya hanya dua pelajar senior yang berada di dalam tandas selain suspek.
“Kemudian pelajar yang memukul Nur Elisa memanggil pula lapan lagi pelajar lain untuk melihat dan memalukan anak saudara saya. Tidak cukup dengan itu, suspek meraba serta menyelak kainnya namun dia sempat menepis. Ketika ini salah seorang daripada mereka merakam perbuatan tersebut,” katanya.
Menurutnya, akibat kejadian tersebut anak bongsu daripada dua beradik itu lebam seluruh badan dan pengsan sehingga terpaksa dibawa ke Klinik Selinsing oleh gurunya untuk pemeriksaan lanjut.
“Kami hanya mengetahui kejadian selepas kakak mangsa yang berada di tingkatan lima menghubungi saya untuk mengambil Nur Elisa di klinik pada pukul 4 petang,” katanya.
Tambahnya, mangsa tinggal bersama neneknya sejak berusia 12 tahun selepas kedua ibu bapanya berpisah.
“Dia mulanya tidak mahu bercerita, namun selepas didesak neneknya baru dia memberitahu tentang perkara sebenar. Katanya sebelum kejadian, dia dan suspek ada sindir menyindir dalam Wechat dan suspek menyimpan dendam terhadapnya.
“Kejadian ini tidak sepatutnya berlaku. Jadi kami sekeluarga membuat laporan polis bagi memastikan suspek mendapat hukuman setimpal,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Abdul Rozak Muhammad ketika dihubungi enggan mengulas lanjut kes tersebut.
Katanya, kes itu tidak akan dipanjangkan oleh kedua-dua pihak sebaliknya akan diselesaikan di peringkat sekolah. – Utusan Malaysia