Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab. Rahman berkata, peringatan itu bagi mengelak sebarang kemudaratan dan risiko semasa mereka menjalankan tugas.
“Seperti yang diketahui permainan maya seperti Pokemon Go mempunyai risiko yang boleh mengancam keselamatan diri mereka sendiri sehingga menyebabkan kemalangan dan sebagainya.
“Jadi kita ingatkan pegawai dan anggota agar jangan sesekali memuat turun aplikasi ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata, peringatan itu dikeluarkan sejajar dengan saranan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana permainan tersebut mempunyai risiko dan mendatangkan bahaya jika tidak berhati-hati.
Rosli berkata, pihaknya juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terjebak dalam permainan maya ini sehingga menceroboh kawasan larangan.
“Saya juga hendak nasihatkan mereka yang taksub mencari Pokemon ini supaya jangan langgar undang-undang yang lain termasuk menceroboh rumah orang dan memandu sambil bermain permainan tersebut.
“Sesiapa sahaja yang didapati menceroboh boleh ditangkap kerana memasuki kawasan larangan,” katanya. –Bernama