Anggota Bomba Dipercayai Lemas Ketika Selenggara Bot

by Anis

KUALA LUMPUR: Seorang anggota bomba dikhuatiri lemas ketika melakukan kerja menyelenggara bot di Jeti Pangkalan Marin Jabatan Bomba di Mak Mandin, Butterworth malam tadi.

Mohd Izwan Ilias, 42, yang juga anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba Butterworth dikatakan terjatuh ke dalam sungai di kawasan itu ketika menyelenggara bot penyelamat kira-kira 10 malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba negeri Khairy Sulaiman berkata pihaknya menerima panggilan pada 10.20 malam sebelum menggerakkan anggota ke lokasi bagi memulakan operasi mencari dan menyelamat.

“Mangsa membuat penyelenggaraan bot bagi memastikan bot berada dalam keadaan siap siaga untuk digerakkan sekiranya diperlukan bagi sebarang operasi.

“Bagaimanapun, ketika penyelia datang membuat pemeriksaan mendapati mangsa tiada di bot dan bot itu juga didapati telah hanyut sebelum terdengar jeritan mangsa,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata ketika ini operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.

Related Articles